Thursday, August 11, 2011

myMetro | Panel eBraille al-Quran

Panel eBraille al-Quran

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BAGI menyuntik kesedaran tinggi memastikan tidak berlakunya keciciran ilmu al-Quran di kalangan golongan cacat penglihatan, kumpulan penyelidik Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan teknologi terkini bagi memudahkan pembacaan, penghayatan dan pengajaran al-Quran Braille.

Kumpulan yang diketuai Dr Mohd Zarhamdy Md Zain ini melakukan transformasi daripada enam jilid al-Quran Braille dihimpunkan kepada sebuah Panel al-Quran Braille Elektronik atau dikenali Panel eBraille al-Quran.

Inovasi berstatus pertama di dunia ini menjadikan senaskhah lengkap al-Quran atau enam jilid al-Quran Braille kepada sebuah panel lengkap.

Penjelmaan titik-titik kod Braille ayat al-Quran dipaparkan melalui sel-sel Braille yang boleh turun dan naik secara automatik dan dikawal pengguna.


Dr Mohd Zarhamdy berkata, teknologi yang dihasilkan bukan saja memudahkan orang buta mempelajari al-Quran, tetapi menjadikan sumber rujukan utama.


Beliau berkata, teknologi yang dihasilkan bersifat mesra pengguna, berkesan kepada golongan sasar sekali gus memudahkan penghayatan tanpa sebarang rintangan.

“Penyelidikan ini berlandaskan tanggungjawab bagi membantu golongan itu selain memudahkan proses pembelajaran ilmu.

“Sebagai sebuah institusi berkepakaran dalam kejuruteraan, UTM berbesar hati memikul tanggungjawab ini.

“Ia sejajar hasrat pelbagai pihak mewujudkan perkongsian ilmu tanpa sempadan sekali gus membuka konsep kesamarataan dalam memperoleh pendidikan,” katanya.

Penyelidikan berteraskan tanggungjawab sosial ini diperuntukkan tempoh selama dua tahun bermula 1 November 2009 dan tamat pada 31 Oktober 2011.

Ia mendapat pembiayaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Menerusinya, golongan sasar boleh membawa Panel eBraille al-Quran dengan mudah untuk pembacaan dan pengajaran selain tidak perlu lagi dilakukan menerusi kaedah tradisional.

Ia juga meminimakan beban pengajaran dan pembelajaran bagi golongan bermasalah penglihatan selain membuka era baru keberkesanan pengajaran dan pembelajaran al-Quran.

myMetro | Panel eBraille al-Quran