Thursday, May 12, 2011

Rahmat al-Quran: Dana Penerbitan al-Quran Braille

Rahmat al-Quran: Dana Penerbitan al-Quran Braille: "Assalamualaikum para2 dermawan semua, :) + Click pic to enlarge + Persatuan Braille Kuala Lumpur Bank Islam: 14014010136002 We can ea..."

Dana Penerbitan al-Quran Braille

Assalamualaikum para2 dermawan semua, :)


+ Click pic to enlarge +

Persatuan Braille Kuala Lumpur
Bank Islam: 14014010136002

We can easily have and read ours, so help them have their copy.
Spread this info around.

Maybe buleh share ngan kawan2, adik-beradik & family untuk bersedekah senaskah (atau lebih) al-Quran Braille kepada yang memerlukan. Semoga anda senantiasa berada dibawah lembayung rahmatNya.

Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar. Al-Hadid, Ayat 7

BerZakat dengan al-Quran Braille

Wakafkan sebuah al-Quran Braille hubungi Persatuan Braille atau Sifu di sini

Sunday, May 8, 2011

mStar Online : Syahid Kerana Mempertahankan Harta

mStar Online : Syahid Kerana Mempertahankan Harta

Syahid Kerana Mempertahankan Harta

Hadith:

DARIPADA Abdullah ibn Amir r.a katanya : "Aku mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia itu syahid."

Riwayat Al-Bukhari

Huraian:

Orang yang meninggal dunia lantaran mempertahankan harta dihukum sebagai syahid di akhirat. Manakala syahid di dunia dan akhirat pula adalah khusus bagi mereka yang meninggal dunia (terkorban) dalam pertempuran iaitu demi mempertahankan agama dan umat Islam.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Thursday, May 5, 2011

Kosmo! Online - Kesihatan

Kosmo! Online - Kesihatan

Kebaikan dari bulu ayam : Plastik

Plastik daripada bulu ayam


BULU ayam boleh menggantikan bahan petroleum dalam proses pembuatan plastik.


JURNAL Persatuan Bahan Kimia Amerika Syarikat mendedahkan penyelidik menemui langkah terbaru mencipta plastik mudah urai daripada buangan bulu ayam.

Ujar wakil penyelidik, Yiqi Yang, pihaknya sedang giat menjalankan uji kaji keberkesanan penciptaan termoplastik daripada bulu pelepah spesies burung terutama ayam.

"Namun, tidak ada satu pun yang berjaya kekal dalam bentuk asal apabila basah namun teknik ini adalah yang pertama kali digunakan oleh kami dalam usaha menghasilkan kualiti terbaik menentang kebasahan kesan air," katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya sedang mencuba untuk membangunkan plastik daripada sumber asli yang boleh dikitar semula untuk menggantikan bahan asas petroleum dalam penciptaan sebelum ini.

Pihak yang bertanggungjawab dalam pembangunan bahan biologikal dan biofiber Institut Pertanian dan Sumber Semula Jadi Universiti Nebraska-Lincoln menegaskan, pendekatan pihaknya bersifat mesra alam dan berfungsi melestarikan keseimbangan alam sekitar.

"Bulu ayam adalah prospek terbaik kerana ia mudah dan biasanya terabai.

"Selalunya lebih 1.3 bilion kilogram bulu ayam terbuang begitu sahaja di Amerika Syarikat setiap tahun. Ada baiknya jika ia dimanfaatkan untuk diproses menjadi makanan haiwan," cadangnya selain diproses untuk bahan plastik.

Bulu ayam terbina daripada keratin iaitu sejenis protein yang ditemui daripada struktur rambut, tanduk, kuku dan bulu yang boleh menambah kekuatan dan ketahanan plastik.


Wednesday, May 4, 2011

mStar Online : APAKAH MODENISASI MEMBUNUH NILAI KEAGAMAAN?

mStar Online : APAKAH MODENISASI MEMBUNUH NILAI KEAGAMAAN?

KOLUMNIS - DARI RANTAU

APAKAH MODENISASI MEMBUNUH NILAI KEAGAMAAN?

BOLEH dikatakan setiap pelusuk dunia masa kini mengalami perubahan. Perubahan ke arah modenisasi. Secara amnya, modenisasi boleh diertikan sebagai transformasi dari keadaan yang tradisional ke arah yang lebih mudah, pantas serta berteknologi. Ini yang dikatakan sebagai pemodenan.

Situasi begini tidak kurang juga dengan apa yang dialami oleh rakyat Australia. Transformasi yang berlaku di sini begitu pantas sekali. Sehinggakan teknologi yang dibangunkan setahun yang lalu sudah dianggap sebagai kuno ataupun ketinggalan zaman.

Ironinya, pembaharuan pesat yang berlaku bukan sahaja bermain di sekitar bidang teknologi, bahkan nilai keagamaan juga mendapat tempias dari arus modenisasi yang sedang melanda dengan begitu hebat sekali di sini.

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, dalam agama kristian katolik, confession (pengakuan terhadap dosa), merupakan satu kaedah pembersihan jiwa. Secara tradisionalnya, seseorang perlu hadir ke gereja, berhubung dengan paderi di dalam konsul yang tertutup.

Kemudian pesalah bolehlah membuat pengakuan terhadap segala dosa-dosanya, terutama sekali terhadap 7 dosa besar, yang dilakukannya secara tertutup untuk menjaga kehormatan dan privasi pelaku.

Akan tetapi modenisasi telah memudahkan elemen tradisi keagamaan ini. Kini terdapatnya sistem pandu dan masuk pengakuan dosa. Bagaimana?

Kaedahnya sama seperti memesan makanan ringan dari tingkap pandu masuk. Pendosa boleh memandu kereta sendiri, berhenti seketika untuk mengaku kesalahan yang telah mereka lakukan.

Yang menariknya, para pengaku tidak perlu menyebut secara terperinci akan dosa mereka, cukup sekadar memberi kod kesalahan, yang sedia tertera, untuk memudah dan mempercepatkan proses pengakuan dosa.

Pada akhir upaca, paderi akan menyembur (spray) air mawar tanda simbolik bersih dari segala dosa. Cukup mudah, cepat dan moden.

Modenisasi juga tidak hanya berlaku dalam agama kristian di sini, malah agama Islam juga tidak terlepas dari menongkah arus kemodenan. Seringkali jika anda berada di masjid-masjid sekitar sini, janganlah merasa hairan, apabila ada yang sembahyang disebelah anda memakai seluar pendek.

Tidak pelik juga apabila bertemu dengan mereka yang bertatoo mahupun yang bertindik solat bersama-sama anda. Kadang-kadang terfikir juga adakah ini dinamakan “tajdid” dalam agama, ataupun sekadar “islah”. Tapi bagi saya ini adalah kejahilan dalam agama.

Bukannya saya menentang sebarang pembaharuan, tapi janganlah kelonggaran yang diberikan disalah gunakan sehingga melampaui batas-batas nilai.

Kadang-kadang Islam sering dipandang sepi oleh pengikutnya sendiri. Ada ketikanya saya berjumpa dengan beberapa orang rakan ketika hendak menunaikan solat Jumaat.

Akan tetapi mereka tidak masuk ke masjid, hanya menunggu di luar. Bila ditanya kenapa tidak masuk? Jawapan yang agak mengeliru telah diberikan. Kehadiran kami sekadar untuk memberi hormat kepada jenazah yang ada pada hari ini, bukannya datang untuk bersolat.

Tambah menariknya, di sesetengah masjid lebih menitik beratkan pemakaian stokin berbanding dengan penutupan aurat yang sebenar. Sehinggakan terdapat masjid mengenakan peraturan “no sock no solat”, ironinya mereka yang memakai singlet dan seluar atas lutut dibenarkan pula untuk masuk bersembahyang.

Cuba bayangkan perasaan anda jika anda bersolat bersebelahan dengan mereka ini. Tidakkah anda terasa pelik dan terhina?Kebanyakan penganut agama Islam di sini malu untuk mengaku secara berterus terang tentang keimanan mereka. Sehinggakan bila ditanya jawapan yang cukup dangkal diberikan, “muslim but not practicing”.

Kadang-kadang jawapan yang diberikan dengan intonasi yang cukup bangga. Seolah-olah agama hanya dicari apabila hampir mati sahaja, malah perkahwinan pun sudah seperti tidak perlu kepada restu keagamaan.

Fenomena ini saya lihat dari sudut yang berbeza, hakikatnya ramai mengetahui ajaran Islam itu menepati keperluan sepanjang zaman, namun berapa ramai yang tahu atau mendalami Islam itu sendiri?

Kebanyakan dari mereka sekadar ikut mengikuti satu sama lain. Kesalahan ini saya lontarkan kepada orang pandai agama, kerana gagal meyakini orang awam akan kehebatan dan kebenaran Islam yang sebenar.

Bagi saya, “if you have a good product but you dont know how to sell or market it, it is a waste.”

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri merupakan Honorary Fellow di Asian Institute University of Melbourne dan Adjunct di School of Philosophy, History and International Studies Monah University. Beliau boleh dihubungi menerusi email zaharuddin.sani.sabri@monash.edu.au

mStar Online : Keunikan Ahli Syurga

mStar Online : Keunikan Ahli Syurga

AGAMA

Keunikan Ahli Syurga

Hadith:

DARI Jabir r.a katanya, dia mendengar nabi s.a.w bersabda: "sesungguhnya penduduk syurga makan dan minum di dalamnya. Tetapi mereka tidak meludah, tidak kencing, tidak membuang air besar dan tidak membuang hingus.

"Para sahabat bertanya:"Bagaimana makanan yang mereka makan? Jawab baginda:"Keluar dari sendawa yang baunya harum seperti bau kasturi . Mereka selalu membaca tasbih dan tahmid sebanyak tarikan nafas mereka."

Riwayat Muslim

Tok Janggut - Pejuang Jihad

Tok Janggut - Pejuang Jihad Kemerdekaan Tanah Melayu 

INGGERIS cuba menyembunyikan cerita sebenar mengenai Tok Janggut. Lelaki tersebut dan kumpulannya dituduh penderhaka kepada sultan, bangsa dan tanah airnya iaitu Kelantan.

PROFIL
HAJI MAT HASSAN PANGLIMA MUNAS
Gelaran lain: Tok Janggut
Tahun lahir: 1850
Tempat lahir: Kampung Saring daerah Jeram, Kelantan.
Tahun kematian: 1915 (berusia 65 tahun).
Sumbangan: pejuang kebebasan Kelantan.

Perjuangan tokoh yang nama sebenarnya, Mat Hassan Panglima Munas itu cuba dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan Tok Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’.

Inggeris benar-benar mahu memburukkan nama baik pejuang kebebasan itu berikutan kesan dan pengaruh Tok Janggut yang bukan kecil. Pada mereka jika tindakan Tok Janggut tidak disekat, maruah sebagai kuasa dunia dan bangsa yang ‘pintar’ akan terjejas.



Mereka mengambil keputusan membunuh Tok Janggut. Apabila tokoh yang juga ulama itu meninggal, mereka sedar ‘aura perjuangan’ Mat Hassan juga perlu dihapuskan bagi mengelakkan peristiwa itu berulang.

Seterusnya mereka melancarkan perang saraf memburukkan Tok Janggut dan pengikutnya, dengan harapan generasi mendatang menganggap lelaki itu dan kumpulannya penderhaka dan pengkhianat bangsa dan negara.

Umpama menyelimuti gajah dengan sapu tangan, usaha itu tidak berhasil kerana masyarakat masih menyanjung sumbangan Tok Janggut berserta sahabat dan pengikutnya terhadap negara.

Walaupun usahanya menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di jiwa tokoh itu masih kekal disanjung sehingga kini.

Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air dipupuk sejak kecil. Beliau dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram, Kelantan pada 1850. Berikutan ayahandanya berkhidmat sebagai panglima istana, dia turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram.

Beliau belajar ilmu agama di Makkah. Ketika berusia 52 tahun dan masih di Makkah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi amanat supaya muridnya berikhtiar membebaskan jajahan dikenali sebagai Serambi Makkah itu. Ketika itu, Inggeris mula melebarkan penjajahan ke negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai Barat Semenanjung.

Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.

Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui orang Melayu dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk watan.

Mat Hassan pulang ke Kelantan tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Beliau menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu.

Mat Hassan juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman.

Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu.

Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.

Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati.

Kekacauan bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan itu, Mat Hassan memutuskan tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangan.

Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran membela agama, bangsa dan tanah air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya.

Pada 29 April 1915, Mat Hassan bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi menentang Inggeris dan memutuskan mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka.

Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Mat Hassan.

Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Mat Hassan menyerah diri. Ketika tiba di kampung itu, Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata.

Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di belakangnya kerana kelihatan seolah-olah mereka mengawal tindakannya daripada melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring atau di hadapannya.

Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan Mat Hassan menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati. Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris.

Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh menyebabkan pegawai Inggeris di jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran sendiri dan beliau diisytihar Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja.

Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum ini sultan sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan.

Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad ke-IV mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir.

Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.

Atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad ke-IV memutuskan menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka.

Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 pengikut kanannya akan menerima ganjaran.

Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki baginda dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok Janggut.

Beliau meminta Gabenor menghantar bantuan tentera ke Kelantan dan seramai 239 askar Inggeris dihantar ke negeri itu pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil keputusan bijak dengan tidak berdepan pasukan Inggeris yang mempunyai kelengkapan senjata itu. Sebaliknya, mereka bersembunyi dan selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke Singapura.

Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh, Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk kampung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut dan menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915.

Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyakinya bersembunyi di situ.

Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati.

Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan “Allahu akbar!”, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut terbunuh bersama ramai pengikutnya.

Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan

Di sinilah jasad Tok Janggut di kebumikan