Thursday, May 6, 2010

Muliakanlah Anak Yatim

Muliakanlah Anak Yatim
Hadith:
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua ini di syurga kelak.” Dan baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan).” (Bukhari)
Huraian :
Akibat kematian ayah atau ibu, seorang anak akan merasakan suatu kekosongan dalam hidupnya. Kosong dari curahan kasih sayang dan segala aspek yang memenuhi keperluan hidup seperti makan, minum, pakaian, dan lain-lain.
Ini menyebabkan seseorang anak yatim itu selalu dihantui oleh perasaan sedih dan hampa. Realiti yang ada di tengah masyarakat sekarang menunjukkan bahawa majoriti anak yatim yang tidak mendapat perhatian yang sewajarnya mengharungi kehidupan yang begitu sukar, menyedihkan dan tersisih.
Islam, sebagai agama yang menitikberatkan perihal kasih sayang sangat menekankan agar kita mengambil berat terhadap anak yatim sehinggakan al-Quran sendiri secara khusus banyak membicarakan masalah anak yatim ini lebih daripada perihal anak-anak yang lain secara umum.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya:”Rumah yang terbaik adalah rumah yang di dalamnya terdapat anak yatim yang dihormati dan diperlakukan dengan baik. Rumah yang terburuk adalah rumah yang di dalamnya terdapat anak yatim yang dizalimi dan diperlakukan dengan buruk. Anak yatim yang mendapat perhatian dan kasih sayang yang cukup daripada mereka yang menjaganya semestinya akan merasa bahagia dan aman.
Namun sekiranya ia tidak mendapat apa yang seharusnya ia peroleh, hidupnya akan rosak dan hal ini menjadi lebih parah jika ia jatuh ke pangkuan orang yang tidak bertanggungjawab yang mendidiknya secara salah dan membentuknya menjadi peribadi yang merugikan masyarakat.
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Sinopsis Surah Al-Baqarah

Sinopsis Surah Al-Baqarah : Ustaz Nik Nasri

baca quranSurah al-Baqarah adalah surah Madaniyyah, melainkan ayat 281 yang turun di Mina dalam Haji Wada’.
Surah al-Baqarah paling panjang dalam al-Quran. Ikrimah berkata: ‘Surah pertama diturunkan di Madinah ialah surah al-Baqarah.’ Ia seperti surah Madaniyyah yang lain. Memberi perhatian kepada pensyariatan menyusun kehidupan muslim dalam masyarakat baharu di Madinah. Masyarakat beragama dan bernegara sekaligus. Ia tidak bercerai tanggal. Ibarat jasad dan ruh, isi dan kuku. Pensyariatan di Madinah berteraskan aqidah tauhid. Prinsipnya beriman kepada Allah dan segala perkara ghaib, beriman sumber al-Quran dari Allah, iktiqad dengan segala perkara yang diturunkan Allah kepada para NabiNya, amal soleh ialah manifestasi iman tersebut. Termasuklah amal soleh itu ialah mengadakan hubungannya dengan Allah melalui solat dan saling memenuhi tanggungjawab sesama manusia melalui infaq di jalan Allah.
(tafsir di bahagian kuliah audio)
Bercakap tentang aqidah, mesti bercakap tentang sifat mukmin, kafir dan munafiq. Mereka wujud sepanjang zaman. Perbandingan dibuat di antara mereka yang selamat dan mereka yang akan binasa. Al-Baqarah juga menyebut tentang Adam yang menjadi ketua para manusia, kisah sujud Malaikat kepadanya, keengganan Iblis untuk sujud kepada Adam sehinggalah ditaqdirkan Adam dan Hawa jatuh ke bumi.
Bani Israel pernah diberi amanah memerintah di bumi. Mereka gagal menyempurnakan tugas besar ini. Sebaliknya mereka kufur, engkar, melakukan pelbagai jenayah dan kerosakan di bumi. Allah mengingatkan pembaca al-Quran tentang sifat jelek Bani Israel ini lebih satu pertiga surah al-Baqarah mulai ayat 47 hingga ayat 123.
Allah juga menyebut tentang perkara ibadah dan muamalah dalam pelbagai aspeknya.
Surah al-Baqarah mengandungi ayat yang hebat iaitu ayat al-Kursi. Ayat paling panjang dalam al-Quran juga berada dalam surah al-Baqarah. Ia berkaitan hutang dan adabnya.
Surah al-Baqarah diakhiri dengan ingatan supaya bertaubat dan kembali kepada Allah, doa minta kemudahan, diangkat kesusahan dari umat ini dan bantuan mengatasi kuffar.
Nabi SAW bersabda: ‘Bacalah surah al-Baqarah. Mengambilnya itu berkat. Meninggalkannya itu kerugian. Sihir tidak dapat menandinginya.’
Ringkasan Tafsir al-Munir, Dr Wahbah az-Zuhaily j 1 ms 68-71.

Fatimah al-Khattab adik yang berani

Fatimah al-Khattab adik yang berani: Utusan Malaysia Agama Online

FATIMAH binti al-Khattab ialah adik Umar al-Khattab. Beliau antara wanita yang terawal memeluk Islam. Semasa Fatimah memeluk Islam, Umar al-Khattab masih menganut agama nenek moyangnya. Umar juga merupakan salah seorang yang begitu membenci hingga sanggup menyiksa orang Islam termasuk adiknya sendiri, Fatimah.
Pada suatu hari, Umar dengan marah keluar ingin membunuh Nabi Muhammad. Di tangannya ada sebilah pedang yang tajam.
Sedang asyik Umar berjalan, tiba-tiba dia ditegur oleh seorang lelaki yang bernama Nu'aim bin Abdullah an-Nahham.
Nu'iam bertanya, Wahai Umar, awak hendak ke mana?
Umar menjawab dengan suara yang lantang, "Saya ingin membunuh Nabi Muhammad."
"Awak tidak akan selamat dan dapat hidup dengan aman sekiranya awak membunuh Nabi Muhammad," balas Nu'aim pula.
Umar terus berjalan pantas. Lalu Nu'aim berkata lagi, "Tahukah awak, adik dan ipar awak sudah memeluk agama Islam?"
Umar terkejut mendengar berita itu lalu menggenggam erat pedang di tangannya. Dia semakin marah lalu pergi ke rumah adiknya. Di rumah itu kelihatan ada iparnya iaitu Khabab bin al-Art dan suami Fatimah iaitu Saib bin Zaid. Khabab sedang membaca surah Thaha kepada Fatimah dan suaminya.
"Buka pintu ini cepat," sergah Umar dari luar rumah Fatimah.
Fatimah, Saib dan Khabab terkejut lalu menyembunyikan ayat al-Quran tersebut. Kemudian Khabab lari ke belakang rumah dan bersembunyi di situ.
"Ada apa awak ke mari?" Tanya Fatimah kepada Umar.
Pintu rumah dibuka. Umar pun masuk ke rumah adiknya.
"Tadi saya dengar ada suara lelaki di sini. Suara itu membacakan sesuatu yang belum pernah saya dengar. Suara apakah itu?" Tanya Umar dengan nada tinggi.
Fatimah dan suaminya berpandangan sesama sendiri. Kemudian Fatimah berkata: "Apa yang awak dengar tadi hanya perbualan kosong sahaja. Kami berbual-bual perkara biasa. Tidak ada apa-apa yang perlu awak tahu."
Umar semakin marah lalu berkata: "Sekarang ini awak sudah pandai menjawab".
Saib cuba mengawal keadaan lalu berkata: "Wahai Umar, saya ingin memberitahu awak bahawa agama yang awak anuti itu adalah tidak benar."
Umar naik berang dan berkata: "Berani awak cakap begitu.."
Umar melompat dan menampar muka Saib. Saib jatuh ke lantai rumah lalu Umar datang memijak badan Saib.
"Sudah, sudah. Berhenti bergaduh," kata Fatimah cuba menahan Umar dari terus menyiksa suaminya.
"Adik tidak kenang budi," Umar berkata lalu menampar kuat ke muka Fatimah.
Tiba-tiba darah mengalir banyak daripada muka Fatimah.
"Apa yang saya lakukan. Wajah Fatimah luka parah. Mengapa dengan saya ini. sanggup mencederakan adik saya sendiri," kata Umar menyesal dengan perbuatannya itu.
Fatimah segera mengambil kain untuk mengelap darah yang terus keluar dari mukanya itu. Umar menyesal di atas perbuatannya.
"Maafkan saya Fatimah. Saya tidak dapat kawal perasaan sebentar tadi," kata Umar kepada adiknya.
Kemudian Umar meminta adiknya lembaran ayat al-Quran yang mereka baca tadi. Fatimah menyuruh abangnya membersihkan diri terlebih dahulu sebelum memegang ayat al-Quran itu. Selepas itu Umar pun membaca surah Thaha.
Umar terpegun dengan keindahan ayat dari surah Thaha itu.
"Saya ingin berjumpa dengan Nabi Muhammad," kata Umar kepada adik dan iparnya.
Pada masa itu Khabab yang sudah lama bersembunyi di belakang rumah muncul. Khabab pun berkata kepada Umar: "Syukur. Ini berkat doa Nabi Muhammad. Nabi Muhammad sekarang berada di Darul Arqam di Shafa."
Umar bergegas menemui Nabi Muhammad. Sampai sahaja di hadapan Nabi Muhammad, Umar pun memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah.
"Terima kasih ya Allah. Akhirnya Umar mendapat cahaya Islam," ujar Fatimah selepas abangnya itu memeluk Islam.
Umar akhirnya menjadi khalifah Islam yang kedua selepas khalifah Abu Bakar as-Siddiq meninggal dunia.

Friday, April 30, 2010

Tangisan tiang mimbar

BICARA AGAMA

ARKIB : 30/04/2010 Utusan Malaysia

Tangisan tiang mimbar

Dan tidak ada yang menghalangi kami akan mengutuskan dengan tanda-tanda (mukjizat) melainkan telah didustakan oleh orang-orang terdahulu... (al-Israk: 59)
Masjid Nabawi adalah masjid yang dibina hasil gotong-royong orang Ansar dan Muhajirin sejurus sahaja Rasulullah SAW berhijrah daripada Mekah ke Madinah.
Tapak masjid tersebut adalah tempat perhentian pertama unta putih Rasulullah. Ketika orang Muhajirin sampai ke Madinah, mereka disambut dengan meriah oleh orang Ansar.
Semua penduduk Madinah berebut-rebut mendapatkan Rasulullah supaya baginda berhenti dan singgah di rumah mereka.
Lalu baginda menyerahkan kepada unta putih baginda untuk membuat keputusan.
Kemudian unta putih itu berjalan lalu berhenti di satu kawasan lapang berdekatan dengan tanah perkuburan. Maka baginda telah mencadangkan untuk membina sebuah masjid di situ yang dikenali sebagai Masjid Nabawi.
Dalam masjid itu, baginda telah membina mimbar yang diperbuat daripada batang tamar. Di mimbar itulah Rasulullah menyampaikan khutbah kepada kaum baginda.
Tidak kira pada waktu sembahyang ataupun pada waktu-waktu yang lain. Masjid itu juga sentiasa menjadi tumpuan orang. Sekiranya ada perbincangan atau majlis ilmu, Masjid Nabawi menjadi pusat perjumpaannya.
Setelah beberapa lama masjid itu dibina dan digunakan, mimbarnya mula menjadi reput. Rasulullah dan para sahabat memutuskan untuk membuat mimbar baru. Lalu Rasulullah dan orang-orang Islam bertungkus-lumus mengumpulkan batang tamar. Tiang mimbar yang lama telah diruntuhkan dan disimpan di tempat lain untuk digantikan dengan yang baru.
Pada suatu hari, sedang Rasulullah berkhutbah, baginda dan para sahabat terdengar satu suara tangisan. Mereka tercari-cari suara tersebut. Setelah diteliti, rupa-rupanya suara itu datang daripada batang tamar yang dijadikan mimbar yang lama. Rasulullah pergi mendapatkannya. Dengan penuh kasih-sayang baginda menepuk-nepuk batang tamar tersebut kemudian bertanya kenapa ia menangis. Batang tamar itu menjawab:
"Aku sungguh sedih mengenangkan nasibku kerana khidmatku tidak diperlukan lagi olehmu ya Rasulullah. Sedangkan aku ingin bersama denganmu sehingga akhir hayatmu."
Rasulullah tersenyum lalu berkata: "Sabarlah wahai batang tamar, walaupun khidmatmu tidak diperlukan lagi kerana keuzuranmu, namun engkau tetap akan bersamaku di syurga kelak."
Selepas mendengar kata-kata Rasulullah itu, batang tamar tersebut berhenti daripada menangis.

Allah menegur perbuatan Rasulullah

BICARA AGAMA

ARKIB : 30/04/2010 Utusan Malaysia

Allah menegur perbuatan Rasulullah


Manusia yang baik adalah yang memberi manfaat kepada orang lain.


Mukadimah
SURAH ini termasuk dalam surah makkiah. Diturunkan selepas surah al-Najm. Dalam surah terdahulu dinyatakan berkenaan hari kiamat, manakala dalam surah ini pula menceritakan perihal orang yang mengambil manfaat daripada peringatan itu.
Firman Allah SWT: Ia memasamkan muka dan berpaling, kerana ia didatangi orang buta. Ibn Ummi Maktum datang menghadap Nabi Muhammad SAW di Mekah. Ketika itu baginda asyik bercakap-cakap dengan pemimpin-pemimpin Quraisy seperti Utbah dan Syaibah, kedua-duanya ialah anak Rabi'ah, Abu Jahl Ibn Hisham, Abbas Ibn Abd al-Mutallib, Umayyah Ibn Khalaf dan al-Walid Ibn al-Mughirah untuk diajak kepada Islam, diberi peringatan tentang kedatangan hari kiamat, kekuasaan Allah SWT dan diharapkan sebagai orang yang akan menerima balasan baik jika menganut Islam.
Rasulullah SAW amat mengharapkan agar seruannya itu diterima kerana baginda mengetahui andainya mereka menganut Islam pasti ramai yang akan mengikut mereka.
Ini kerana kuasa kepimpinan bangsa Arab terletak di tangan mereka. Ketika baginda asyik bercakap-cakap, tiba-tiba Ibn Ummi Maktum mencelah, katanya: "Ya Rasulullah, bacakan dan ajarkanlah aku apa yang telah diajarkan oleh Allah SWT kepada tuan".
Berulang kali ucapan itu disampaikan tanpa dia mengetahui kesibukan baginda bersama-sama tokoh kaum yang sedang berbicara sehingga baginda berasa tidak senang hati apabila percakapannya disampuk dan nampak rasa kurang selesa pada raut wajah baginda lalu berubah mukanya menjadi masam lantas ia berpaling.
Firman Allah SWT: Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui (tujuannya, Wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepada-Nya.
Syed Qutb berkata: Tahukah engkau barangkali hati lelaki akan disinari nur Allah yang akan mengubahnya menjadi rumah nur yang sentiasa menerima nur dari langit?
Kebajikan ini akan menjadi kenyataan apabila ada hati yang membuka pintunya untuk menerima hidayah dan apabila hakikat iman terpacak kukuh di dalam hatinya. Inilah persoalan agung dalam neraca pertimbangan Allah SWT.
Firman Allah SWT: Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran al-Quran). Maka Engkau bersungguh-sungguh melayaninya. Padahal Engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya).
Ibn Kathir berkata: Engkau tidak dituntut melakukan hal tersebut jika ia tidak membersihkan dirinya.
Firman Allah SWT: Adapun orang yang segera datang kepada-Mu. Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah), maka engkau berlengah-lengah melayaninya. Al-Maraghi berkata: Ternyata engkau mengabaikan permintaannya.
Firman Allah SWT: Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya. Wasiat ini berlaku sama kepada seluruh umat manusia dalam menyampaikan ilmu baik antara orang mulia mahupun orang yang hina.
Qatadah dan al-Suddi mengatakan: Iaitu al-Quran. Ini bagi yang sentiasa mengingati Allah.
Firman Allah SWT: (ayat-ayat suci itu tersimpan) dalam naskhah-naskhah yang dimuliakan, yang tinggi darjatnya, lagi suci (dari segala gangguan), (terpelihara) di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya dari Lauh Mahfuz (malaikat-malaikat) yang mulia, lagi yang berbakti.
Al-Maraghi berkata: Peringatan itu telah dicantumkan dalam kitab Allah SWT yang mulia lagi tinggi, suci dari sebarang kekurangan, tidak bercampur dengan unsur-unsur kesesatan dan diturunkan kepada nabi melalui para malaikat, kemudian peringatan itu diteruskan kepada seluruh manusia.
Penutup
Syed Qutb berkata: Ayat-ayat al-Quran itu mulia dalam semua pertimbangan dan mulia dalam suhuf-suhufnya. Ia dijunjung tinggi dan suci.
Ia diserahkan kepada utusan-utusan para malaikat ang tertinggi, mulia dan taat setia untuk dikirimkan kepada para rasul yang terpilih di bumi supaya disampaikan kepada penghuni-penghuninya.
Itulah sifat malaikat yang mulia dan taat setia. Ayat-ayat itu amat mulia dan suci dalam segala perkara yang dibicara dan disentuh olehnya.
Ayat-ayat tersebut sungguh mulia dan tidak ditawarkan kepada orang-orang yang enggan menerimanya dengan jelas menyatakan bahawa mereka tidak memerlukannya. Ia untuk orang yang mengiktiraf kemuliaannya dan mahu membersihkan diri dengannya.
Penjelasan ayat ini merupakan neraca Allah untuk pertimbangan manusia dan kedudukan mereka dan hanya Dia yang mampu mengatur segala-galanya.

Tuesday, April 20, 2010

Bid’ah

AGAMA

Bid’ah
Hadith:
Dari Aisyah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Siapa yang mengamalkan suatu amal (ibadat) yang tidak pernah kami lakukan maka amalnya itu ditolak.” (Muslim)
Huraian :
Bid’ah adalah sesuatu yang dibawa ke dalam agama yang tidak mempunyai asas sama sekali sama ada dari al-Quran mahupun as-Sunnah.
Bid’ah adalah sesuatu yang dianggap sebagai sebahagian daripada ajaran agama dan Syari'ah sedangkan ia tidak benar sama sekali.
Kewujudan bid’ah tidak lain hanya membawa masuk buah fikiran dan ideologi baru ke dalam agama dengan tujuan untuk merosakkan agama Islam.
Antara sebab yang membawa terjadinya bid’ah adalah jahil tentang hukum agama dan sumber-sumbernya, mengikuti hawa nafsu dalam masalah hukum, fanatik buta terhadap pemikiran orang-orang tertentu, ghuluw (berlebih-lebihan) dan tasyabbuh (meniru) orang-orang kafir dan musyrik.
Justeru jika seseorang itu telah yakin bahawa syariat Islam telah sempurna, tentunya dia tidak akan mengadakan sesuatu yang baru, apatah lagi untuk mengubahnya.
Sebaliknya orang yang mengatakan bahawa syariat perlu diubah dan membuat sesuatu yang baru ternyata dia telah tersesat dari jalan yang lurus.
Sumber: Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia

Saturday, April 17, 2010

UMPAMA KACANG LUPAKAN KULIT

Cerita kacang lupakan kulit amat menarik
  • Saperti cerita orang yang ingkar dari perjanjian, 
  • orang yang tiada kerja di beri kerja atau
  • orang yang tiada jawatan di tawar jawatan tapi duit di ambil tapi kerja tak siap. 
  • Jawatan di amanahkan tapi kerja tidak buat semua cerita macam kacang kupakan kulit, 
  • Tidak tahu buat kerja bila di ajar dia kata dia lebih pandai semua umpama ahli politik yang ingin pegang jawatan kerana keuntungan melebihi amanah.
Tapi kacang yang keluar itu adalah hasil kerja tapi apakah perlu ia berbakti dengan kulit tebal nya yang hodoh atau kulit nipis nya yang menjaga kemukaan tidak tercelar tadi. Ia tidak mahu ia tidak malu saperti petikan 'The past is gone forever' atau 'Today is all you have' dari "Don't Be Sad" oleh Dr. 'Aiid al-Qarni dan petikan oleh Siti Fatimah Abdul Rahman amat menarik tentang "Pelihara Aib Orang".


Cerita dah tengok tapi tak nampak umpama cerita hantu

Tidak guna nya kita bercakap sombong, kalau kaya mana sekali pun yang di bawa bersama nanti hanya kain kapan dan utama sekali adalah amalan nya terhadap Allah yang maha Esa.