KOLUMNIS - DARI RANTAU
BOLEH dikatakan setiap pelusuk dunia masa kini mengalami perubahan. Perubahan ke arah modenisasi. Secara amnya, modenisasi boleh diertikan sebagai transformasi dari keadaan yang tradisional ke arah yang lebih mudah, pantas serta berteknologi. Ini yang dikatakan sebagai pemodenan.
Situasi begini tidak kurang juga dengan apa yang dialami oleh rakyat Australia. Transformasi yang berlaku di sini begitu pantas sekali. Sehinggakan teknologi yang dibangunkan setahun yang lalu sudah dianggap sebagai kuno ataupun ketinggalan zaman.
Ironinya, pembaharuan pesat yang berlaku bukan sahaja bermain di sekitar bidang teknologi, bahkan nilai keagamaan juga mendapat tempias dari arus modenisasi yang sedang melanda dengan begitu hebat sekali di sini.
Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, dalam agama kristian katolik, confession (pengakuan terhadap dosa), merupakan satu kaedah pembersihan jiwa. Secara tradisionalnya, seseorang perlu hadir ke gereja, berhubung dengan paderi di dalam konsul yang tertutup.
Kemudian pesalah bolehlah membuat pengakuan terhadap segala dosa-dosanya, terutama sekali terhadap 7 dosa besar, yang dilakukannya secara tertutup untuk menjaga kehormatan dan privasi pelaku.
Akan tetapi modenisasi telah memudahkan elemen tradisi keagamaan ini. Kini terdapatnya sistem pandu dan masuk pengakuan dosa. Bagaimana?
Kaedahnya sama seperti memesan makanan ringan dari tingkap pandu masuk. Pendosa boleh memandu kereta sendiri, berhenti seketika untuk mengaku kesalahan yang telah mereka lakukan.
Yang menariknya, para pengaku tidak perlu menyebut secara terperinci akan dosa mereka, cukup sekadar memberi kod kesalahan, yang sedia tertera, untuk memudah dan mempercepatkan proses pengakuan dosa.
Pada akhir upaca, paderi akan menyembur (spray) air mawar tanda simbolik bersih dari segala dosa. Cukup mudah, cepat dan moden.
Modenisasi juga tidak hanya berlaku dalam agama kristian di sini, malah agama Islam juga tidak terlepas dari menongkah arus kemodenan. Seringkali jika anda berada di masjid-masjid sekitar sini, janganlah merasa hairan, apabila ada yang sembahyang disebelah anda memakai seluar pendek.
Tidak pelik juga apabila bertemu dengan mereka yang bertatoo mahupun yang bertindik solat bersama-sama anda. Kadang-kadang terfikir juga adakah ini dinamakan “tajdid” dalam agama, ataupun sekadar “islah”. Tapi bagi saya ini adalah kejahilan dalam agama.
Bukannya saya menentang sebarang pembaharuan, tapi janganlah kelonggaran yang diberikan disalah gunakan sehingga melampaui batas-batas nilai.
Kadang-kadang Islam sering dipandang sepi oleh pengikutnya sendiri. Ada ketikanya saya berjumpa dengan beberapa orang rakan ketika hendak menunaikan solat Jumaat.
Akan tetapi mereka tidak masuk ke masjid, hanya menunggu di luar. Bila ditanya kenapa tidak masuk? Jawapan yang agak mengeliru telah diberikan. Kehadiran kami sekadar untuk memberi hormat kepada jenazah yang ada pada hari ini, bukannya datang untuk bersolat.
Tambah menariknya, di sesetengah masjid lebih menitik beratkan pemakaian stokin berbanding dengan penutupan aurat yang sebenar. Sehinggakan terdapat masjid mengenakan peraturan “no sock no solat”, ironinya mereka yang memakai singlet dan seluar atas lutut dibenarkan pula untuk masuk bersembahyang.
Cuba bayangkan perasaan anda jika anda bersolat bersebelahan dengan mereka ini. Tidakkah anda terasa pelik dan terhina?Kebanyakan penganut agama Islam di sini malu untuk mengaku secara berterus terang tentang keimanan mereka. Sehinggakan bila ditanya jawapan yang cukup dangkal diberikan, “muslim but not practicing”.
Kadang-kadang jawapan yang diberikan dengan intonasi yang cukup bangga. Seolah-olah agama hanya dicari apabila hampir mati sahaja, malah perkahwinan pun sudah seperti tidak perlu kepada restu keagamaan.
Fenomena ini saya lihat dari sudut yang berbeza, hakikatnya ramai mengetahui ajaran Islam itu menepati keperluan sepanjang zaman, namun berapa ramai yang tahu atau mendalami Islam itu sendiri?
Kebanyakan dari mereka sekadar ikut mengikuti satu sama lain. Kesalahan ini saya lontarkan kepada orang pandai agama, kerana gagal meyakini orang awam akan kehebatan dan kebenaran Islam yang sebenar.
Bagi saya, “if you have a good product but you dont know how to sell or market it, it is a waste.”
Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri merupakan Honorary Fellow di Asian Institute University of Melbourne dan Adjunct di School of Philosophy, History and International Studies Monah University. Beliau boleh dihubungi menerusi email zaharuddin.sani.sabri@monash.edu.au
No comments:
Post a Comment