Kedudukan wanita tinggi di sisi Islam
Utusan Online Agama
DALAM al-Quran salah satu daripada surah-surahnya dinamakan An-Nisa' yang maksudnya wanita.Begitu juga dalam hadis,, terdapat satu bab yang membincangkan mengenai nasihat supaya berbuat baik terhadap wanita
Malah, sejarah merekodkan bahawa kemunculan Islam telah menghapuskan sama sekali amalan menghina dan membunuh wanita sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat jahiliah.
Semua ini membuktikan pandangan Islam yang tinggi terhadap kaum wanita.
Kedudukan wanita dari sudut Islam sangat tinggi. Allah tidak membezakan lelaki dan wanita dari segi kehormatan, kedudukan di sisi undang-undang dan juga kedudukan di sisi-Nya.
Begitu juga dalam pembangunan wanita. Islam tidak pernah mengharamkan wanita untuk bekerja demi pembangunan keluarga sendiri.
Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Anisah Ab. Ghani berkata, penglibatan dan peranan wanita dalam membangunkan masyarakat dan negara adalah penting.
''Islam membolehkan kaum wanita bekerja, namun tetap menjaga fitrah dan kemuliaan,'' katanya.
Tegasnya, secara umum Islam tidak menghalang wanita untuk melakukan pekerjaan yang baik di luar rumah sekiranya ia merupakan keperluan diri dan keluarga atau untuk masyarakat dan negara.
''Atas dasar keperluan inilah wanita-wanita pada zaman Nabi Muhammad SAW turut sama membantu keluarga mereka,'' ujarnya pada seminar Wanita, Keluarga dan Kerjaya anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.
Tegas beliau lagi, Islam menganggap segala pekerjaan yang dilakukan oleh wanita atau lelaki adalah ibadah.
''Ini kerana ajaran Islam tidak memisahkan mana-mana amalan manusia yang dilakukan dengan niat ikhlas dan tidak terkeluar dari landasan dan peraturan Islam maka ianya dianggap amal soleh dan memperoleh ganjaran di dunia dan juga akhirat,'' ujarnya.
Bagaimanapun tegasnya, menurut perspektif Islam, keharusan wanita untuk keluar bekerja mestilah mengikut batas-batas syarak.
''Kerja yang dilakukan oleh wanita itu mestilah bersesuaian dengan sifat kewanitaan serta kerja yang dilakukan itu tidak menjejaskan peranan dirinya sebagai isteri dan juga ibu,'' terangnya lagi.
Namun yang paling penting, Dr. Anisah menjelaskan pekerjaan itu mestilah dihalalkan oleh syarak.
''Dalam situasi ini tidak semua pekerjaan halal bagi wanita, contohnya seperti penari. Pekerjaan ini hanya halal kepada kaum lelaki tetapi tidak bagi kaum hawa,'' tegasnya serius.
Bagaimanapun tegas beliau lagi, bagi wanita Islam, biarpun sibuk dengan pekerjaan yang dilakukan namun keutamaan adalah wajib terhadap suami dan keluarga.
Katanya lagi, tidak dinafikan masa dan waktu bagi wanita yang bekerja adalah lebih singkat berbanding golongan yang tidak bekerja.
''Oleh itu, keseimbangan masa juga adalah perlu dalam menyeimbangkan tanggungjawab tersebut,'' katanya.
Tterangnya lagi, biarpun pangkat isteri lebih tinggi daripada suami namun dalam rumah tangga, kedudukan isteri adalah kedua selepas suami.
''Oleh itu rasa hormat dan patuh harus ditanam dalam memastikan kerukunan rumah tangga terjaga,'' ujarnya lagi.
Sementara itu, Naib Presiden Jemaah Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj pula menegaskan, kaum wanita yang bekerja perlu menyeimbangkan antara kedua-dua tugas supaya kehidupan lebih selari dan tidak berat sebelah.
''Dalam soal ini, sebagai wanita kita perlu bijak menyeimbangkan peranan dengan bijak dan kualiti antara kerjaya dan keluarga. Tegasnya, keadaan ini secara tidak langsung memaksa wanita memainkan peranan seimbang di antara rumah tangga.
'' Situasi ini sebenarnya cabaran besar kepada wanita dan meletakkan wanita dalam persimpangan,"katanya.
Bagaimanapun tegasnya, sebagai wanita bekerja mereka harus mengambil berat mengenai kualiti masa.
''Contohnya pada hari minggu mereka menumpukan lebih masa terhadap keluarga, Malah, kita juga perlu pandai mengambil hati anak-anak dan suami dengan penuh kasih sayang,'' katanya.
Dalam pada itu juga, beliau yang juga merupakan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) memberitahu, seorang wanita haruslah memiliki pasangan yang saling memahami, memberi dorongan dan saling memahami.
''Sokongan suami dalam meneruskan perjuangan ini adalah perkara yang penting.
''Peranan wanita sebagai pembentuk acuan didikan anak-anak disempurnakan dengan adanya peranan suami demi mengukuhkan sendi kepada kebahagiaan sesebuah institusi rumahtangga,'' ujarnya.
''Oleh itu tegasnya, amat penting bagi seseorang wanita yang bekerja itu menyeimbangkan peranan beliau sebagai isteri, ibu dan juga pekerja.
''Sekiranya ini dapat dicapai, dunia akan menjadi tempat yang lebih baik untuk kita semua,'' ujarnya.
Namun bagi kaum Adam pula tegasnya, seharusnya bertimbang rasa dan bertanggungjawab untuk mewujudkan suasana bahagia dalam rumahtangga.
''Tanpa kehalusan budi bahasa dan kasih sayang seorang wanita sama ada isteri atau ibu, mana mungkin kebahagiaan sesebuah keluarga itu dapat diraih.
''Kejayaan rumahtangga memerlukan sumbangan besar malahan pengorbanan yang suci dan tulus daripada golongan wanita serta dilengkapi oleh peranan suami,'' jelasnya.
No comments:
Post a Comment